HomeMV+PendapatTeguran kasih sayang buat 'content creator'

Teguran kasih sayang buat ‘content creator’

KEWUJUDAN media sosial masa kini nyata memudahkan masyarakat mengetahui serta mempelajari sesuatu perkara baharu.

Malah, dengan adanya platform itu, ramai individu yang tampil menghasilkan kandungan sehingga dikenali sebagai pempengaruh atau lebih acap kali didengari selaku ‘content creator’.

Bagaimanapun, bukanlah semua kandungan yang dihasilkan dan disiarkan dalam media sosial itu mendatangkan manfaat kerana masih ada sebilangan ‘malaun’ yang tanpa segan-silu memuat naik video atau foto yang berunsurkan kurang bijak.

Tidak dapat dinafikan, masih ada pihak yang mengambil kesempatan membuat kandungan kurang sopan atas dasar strategik pemasaran bagi sesuatu perniagaan dengan alasan ‘bad marketing’ itu mudah mendapat perhatian umum.

Sikap sedemikian membuatkan sebilangan masyarakat khususnya yang beragama Islam kurang selesa kerana bimbang hanya memudaratkan umat manusia.

Barangkali individu berkenaan lupa akan konsep penyebaran ilmu sehingga tidak sedar bahawa setiap perbuatan yang dilakukan itu akan menjadi saksi di akhirat kelak.

Seperti yang dipesan oleh seorang pendakwah, Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud, gunalah bakat kurniaan Allah dengan betul dan menyebarkan kebaikan.

Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud

“Content yang baik, memberi ilmu, memberi nasihat, menyenangkan hati dan mendekatkan orang kepada Allah.

“Ada orang yang Allah murahkan rezekiNya, duitnya seperti hujan yang turun.

“Tapi dengan duit, dia buat content hiburan yang merosakkan dirinya dan orang lain.

“Asalkan tinggi views dan dapat engagement, duit masyuk… Lantaklah apa orang nak kata. Jika Al-Quran sendiri menegur, kita tak nak endahkan, apa lagi lebih tinggi dari Al Quran?,” soalnya yang juga penyampai ibrah bagi Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau turut berpesan supaya para pempengaruh supaya bahawa setiap kandungan yang disiarkan dalam media sosial itu akan dihisab kelak.

“Ingatlah content yang kita post hari ini, dikongsi ramai orang. Jika kita mati, content itu akan kekal.

“Jika content itu baik, bahagialah kita disana. Jika content itu merosakkan ramai orang, menangislah kita disana,” ujarnya.

Bagi mengakhiri penulisan ini, beliau turut menitip sebaris ayat dari Surah Luqman;6:

‎وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَشْتَرِى لَهْوَ ٱلْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍۢ

“Dan ada manusia yang membelanjakan hartanya kepada hiburan yang melalaikan; yang menyesatkan dirinya dan orang lain dari agama Allah tanpa ilmu”.

Author

Pilihan Editor