LANGKAH Perikatan Nasional (PN) yang mencadangkan tema dan logo Hari Kebangsaan berbeza dengan kerajaan Persekutuan, ternyata sukar untuk diterima ramai pihak.
Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diterajui parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan pada Sabtu lalu.
Katanya, logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.
Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan meneliti dan menyiasat mengenai perkara tersebut.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, sambutan Bulan Kebangsaan bukan bersifat politik, sebaliknya ia adalah sambutan yang diadakan di peringkat negara.
Tampil mengulas, pakar sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam menganggap langkah PN melakukan perbezaan itu adalah kesan daripada keangkuhan parti tersebut, setelah berjaya memperoleh kemenangan di tiga negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
“Jangan terlalu rasa bangga dan sombong dengan kemenangan itu. PN sekarang memang mendabik dadalah sebab saya lihat mereka mentertawakan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Ada segelintir daripada mereka yang menunjukkan gambar-gambar kurang menarik. Bagi saya, ini satu sikap yang kurang adab.
“Dalam pilihan raya, ada masa kita dekat atas dan ada masa kita dekat bawah. Ada juga penyokong-penyokong cuba main politik sendiri sebab mereka rasakan sebelum ini mereka turun mengundi,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Cabar Kuasa Persekutuan
Mengulas lanjut, Ramlah berkata, tema dan logo berbeza juga menunjukkan PN seolah-olah cuba mencabar kuasa Persekutuan.
Katanya, cabaran yang bersifat nasionalistik, kebangsaan dan patriotisme itu sekali gus melanggar dasar Rukun Negara.
“Negara dipegang oleh kerajaan pusat dan Persekutuan yang diputuskan oleh rakyat.
Jadi, mereka juga perlulah setia kepada negara.
“Ketika pentadbiran terdahulu, ada parti yang cuba mencipta bendera lain, kibar bendera hitam dan bendera terbalik, kita pun akan marah.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) pernah jadi Perdana Menteri dan pernah rasa kesusahan menjadi pemimpin. Beliau patut tegur perkara itu dan tidak seharusnya mementingkan populariti politik semata-mata,” ujarnya.
Tambah Ramlah, beliau tidak terfikir bahawa PN akan mencabar kuasa Persekutuan, selain tidak menolak kemungkinan parti itu akan melakukan perkara lebih besar pada masa akan datang.
Katanya, ini termasuk parti itu mungkin akan mengeluarkan kenyataan-kenyataan untuk keluar daripada Malaysia seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Ini semestinya akan memecahkan perpaduan. Kita boleh berpolitik tapi jangan campur dengan perkara melibatkan negara.
“Mereka yang menang (pilihan raya) harus bersyukur tapi jangan hina orang atau mengata orang,” katanya.
Rakyat Keliru
Pada masa sama, Ahli Pemegang Amanah Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah membuat perbezaan tema dan logo Hari Kebangsaan menyebabkan rakyat menjadi keliru dan tidak wajar dilakukan.
Memberi fokus kepada perpaduan, Lam Thye berkata, perkara melibatkan negara dan nasional tidak patut dikaitkan dengan politik.
“Apabila kita meraikan Hari Kebangsaan, kita ada tema nasional dan kebangsaan.
“Ini menunjukkan rakyat Malaysia setia kepada negara. Saya harap tiada pihak yang mencampuradukkan perkara ini dengan politik,” jelasnya yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.