HomeBeritaPolitikUMNO akan ambil tindakan terhadap ADUN sertai program PN

UMNO akan ambil tindakan terhadap ADUN sertai program PN

CYBERJAYA: Kehadiran seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menyertai program anjuran Perikatan Nasional (PN) di Johor menimbulkan persoalan, sama ada ia adalah langkah permulaan untuk lompat parti atau sokongan kepada pihak lawan.

Mengambil maklum, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan mengambil tindakan berhubung tindakan luar jangka ADUN berkenaan.

“Saya akan terima laporan itu dan kita akan lakukan sesuatu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Sebelum ini, ADUN Rembia, Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis hadir pada majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Muhammad Jailani mempertahan tindakannya itu dengan menegaskan kehadiran beliau di majlis berkenaan adalah bukan atas kapasiti sebagai ADUN UMNO.

Katanya, kehadirannya itu bagi mewakili badan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional (MN) yang diterajui bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

“Saya mewakili Annuar (di sini) kerana MN berpegang teguh dengan kepercayaan kepada perpaduan ummah.

“Kebetulan, semangat yang sama dikongsi oleh PN. Kami percaya perpaduan ini tidak mati dan kami tidak bermusuhan dengan mana-mana parti politik,” katanya seperti dipetik dari sebuah laporan media.

 

 

 

Author

Pilihan Editor