SEORANG wanita Orang Asli maut selepas dipercayai dipijak gajah liar dalam kejadian di Kampung Bal, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, di Gerik, Perak pada Ahad.
Memetik laporan Sinar Harian, mangsa dikenali sebagai Zaitun dikatakan diserang haiwan liar berkenaan ketika berada di belakang rumahnya dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu.
Difahamkan, mangsa dijumpai penduduk dalam keadaan parah, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi memaklumkan siasatan sedang dijalankan.