PUTRAJAYA: Seramai 6,000 orang dari 131 kontinjen mewakili kementerian, badan berkanun dan agensi swasta menyertai sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Acara perarakan kontinjen bermula pada 7.30 pagi dengan penyertaan seramai 3,700 orang peserta lelaki, manakala selebihnya adalah wanita.
Kontinjen itu mula berarak dari Jambatan Seri Gemilang Putrajaya ke PICC dengan jarak perjalanan 1.1 km diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Bertemakan Perpaduan Teras Malaysia Madani, acara kemuncak sambutan bermula pada 10 pagi dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan Jemaah Menteri.
Sambutan Maulidur Rasul adalah acara rasmi kerajaan yang disambut setiap tahun sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia.
Sambutan bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.
Pada majlis kali ini akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW.
Anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu yang layak atas sumbangan yang cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara. – Harian Metro