HomeBeritaAgong, Raja Permaisuri zahir syukur sempurnakan Kembara Kenali Borneo

Agong, Raja Permaisuri zahir syukur sempurnakan Kembara Kenali Borneo

CYBERJAYA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan sukacita dan syukur, kerana dapat menyempurnakan impian mendekati rakyat Sabah dan Sarawak menerusi program Kembara Kenali Borneo yang berakhir pada Rabu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, baginda berdua amat terharu dan tersentuh dengan semangat dan kasih rakyat yang dizahirkan di sepanjang jalan raya lokasi pengembaraan tanpa mengira penat lelah, ketika lewat malam serta keadaan cuaca panas terik dan hujan lebat.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat negeri Sabah dan Sarawak atas sambutan sangat hebat yang telah diberikan kepada baginda berdua dan sekeluarga sepanjang pengembaraan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo,” katanya dalam kenyataan Istana Negara pada Khamis.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan kerajaan negeri Sabah serta Sarawak atas segala bantuan dalam menjayakan program itu.

Program julung kali diadakan yang bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lepas dan melabuhkan tirai di Telok Melano, Sematan, Sarawak pada Rabu, melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei, mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

Author

Pilihan Editor