HomeBeritaBekalan tak kurang, permintaan beras tempatan naik mendadak sebab beras import mahal

Bekalan tak kurang, permintaan beras tempatan naik mendadak sebab beras import mahal

 

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berdepan masalah kekurangan bekalan beras memandangkan negara menghasilkan 1.5 juta tan beras setahun.

Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB) KPKM, Datuk Azman Mahmod berkata, bagaimanapun kekurangan Beras Putih Tempatan (BPT) dalam negara adalah disebabkan peningkatan permintaan berikutan kenaikan harga beras import.

Peningkatan harga beras putih import memberi kesan kepada industri padi dan beras negara kerana ia mendorong peningkatan permintaan pengguna kepada beras putih tempatan.

“Saya ingin tegaskan bahawa negara tidak berdepan masalah kekurangan beras, namun harus diingat bahawa penuaian adalah secara berperingkat.

“Pada masa sama, sebanyak 20 peratus diperuntukkan untuk kegunaan industri, hospital, pembayaran zakat dan penjara,” katanya hari ini.

Kenaikan harga beras putih import bukan saja berlaku di Malaysia namun turut melanda pasaran global sehingga menyebabkan pengguna cenderung membeli BPT yang dijual pada harga dikawal iaitu RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit.

Harga kawalan maksimum BPT di peringkat pengguna adalah RM2.60 satu kilogram (kg) dan ia termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“Langkah intervensi oleh kerajaan adalah menetapkan harga kawalan maksimum beras putih tempatan di peringkat kilang iaitu pada RM2,250 per metrik tan dan pemborong pada RM2,540 per metrik tan,” katanya. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor