SEORANG pemandu teksi bertindak biadab apabila menyalahgunakan kemudahan awam yang disediakan untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menerusi video tular, pemandu teksi yang selamba meletakkan kereta di tapak parkir OKU itu pada mulanya dilihat mahu mengundurkan kenderaannya.
Namun, kereta jenis Perodua Kancil milik OKU yang diparkir di belakang teksi jenis Proton Saga itu menyebabkan kesukaran untuk mengundur.
Setelah teksi itu berjaya mengundur, pemandu terbabit secara tiba-tiba keluar dari kereta dan bertindak mematahkan pengelap cermin (wiper) milik Kancil tersebut.
Dah La Rembat Parking OKU.. Die Siap Patahkan Lagi Wiper Kereta OKU Tu pic.twitter.com/YAHL6xr05L
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) September 22, 2023
Kejadian itu turut disaksikan oleh penumpang wanita warga emas yang menaiki pengangkutan awam berkenaan.
Tidak beberapa lama kemudian, pemandu teksi yang memakai pakaian serba hitam itu beredar dari lokasi kejadian.
Difahamkan, pemandu teksi itu tidak mempunyai pelekat OKU sama ada di cermin hadapan mahupun belakang.
Masa dan lokasi sebenar kejadian masih belum dapat dikenal pasti, namun yang pasti ia berlaku di hadapan sebuah kedai runcit 99 Speedmart.
Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan netizen berang atas tindakan pemandu teksi berkenaan yang dilihat seolah-olah tidak bertamadun.
Tulis @tulip_loverr: Itu hak OKU kot. Kau bukan OKU memang minta nak jadi OKU gamaknya. Bo*** tak dibuat-buat ye. Tolonglah sesiapa jumpa dia patahkan balik wiper dia.
Tambah @nurullbt: “Kasihannya. Sudahlah hak parking diambil, pastu kena keluar duit ganti wiper. Jahat la driver teksi tu.”
Kecam @ashrafwaren95: “Kalaulah hidup tertekan sekali pun, kau tak ada hak nak rosakkan harta org lain, apatah lagi orang yang deserve dibantu. No wonder ramai orang tak naik teksi sebab perangai macam ni.”
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa, namun ada netizen yang menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman X, untuk mengambil maklum serta mengambil tindakan atas kejadian tersebut.