KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, menyelamatkan empat wanita warga Myanmar yang dieksploitasi dijadikan pelayan sebuah rumah kedai yang diubah suai sebagai pusat hiburan pub dan karaoke tanpa lesen di Bandar Puchong, Puchong, pagi tadi.
Serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D3, JSJ Bukit Aman, jam 10.40 pagi, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak beberapa hari lalu.
Ketua Penolong Pengarah D3, ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, semua wanita terbabit berusia antara 15 hingga 31 tahun termasuk seorang bawah umur dijadikan pelayan atau GRO untuk pelanggan lelaki warga asing sejak lima hari lalu.
Semua wanita yang diselamatkan itu sebelum ini dijanjikan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan gaji RM1,500 sebulan oleh seorang dari tiga suspek lelaki Myanmar yang ditahan.
“Suspek utama telah memaksa empat wanita ini bekerja sebagai pelayan dan melayani setiap warga asing yang datang berhibur di pub dan karaoke premis rumah kedai berkenaan.
“Selain suspek utama, polis juga menahan dua pembantunya berusia antara 23 hingga 35 tahun,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.
Fadil berkata, hasil siasatan awal mendapati seorang mangsa berusia 26 tahun mendakwa telah dirogol oleh seorang suspek yang ditahan.
“Hasil pemeriksaan secara keseluruhan kami berjaya menyelamatkan empat mangsa warganegara Myanmar yang dieksploitasi sebagai buruh paksa dan akan menempatkan mereka di rumah perlindungan,” katanya.
Penahanan tiga suspek warga Myanmar ini dijalankan bawah Akta ATIPSOM (Akta 670) mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007.
Fokus operasi oleh D3, JSJ Bukit Aman, adalah pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang (Eksploitasi buruh paksa) dengan berpandu kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.