CYBERJAYA: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) hari ini menjelaskan mengenai pelaksanaan yuran transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit berkuat kuasa 1 November 2023.
Dalam satu kenyataan hari ini, pengendali DuitNow QR itu mengesahkan bahawa vendor akan dikenakan yuran transaksi untuk pembayaran yang diterima melalui platform kod DuitNow QR tetapi terdapat beberapa kekeliruan yang perlu dijelaskan.
“Kebimbangan dibangkitkan mengenai kesan yuran yang bakal dikenakan ke atas peniaga dan impak kepada harga barangan dan perkhidmatan boleh difahami.
“Bagaimanapun, dua jenis e-pembayaran yang berbeza telah disifatkan oleh media sebagai sama, iaitu kadar diskaun pedagang (MDR) dan yuran 50 sen untuk transaksi melebihi RM5,000.
“Liputan tersebut telah secara tidak tepat menggambarkan dua jenis e-pembayaran yang berbeza sebagai satu yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PayNet berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan media tentang sebuah institusi perbankan tempatan yang memaklumkan pelanggannya mengenai pelaksanaan yuran transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit berkuat kuasa 1 November 2023 dan beberapa bank kononnya tidak tahu menahu perkara ini.
PayNet berkata, seorang peniaga akan menerima bayaran yang dibuat oleh pelanggan mereka selepas ditolak MDR.
“Pada masa ini pembayaran kad debit dan kredit dikenakan MDR manakala terdapat penepian MDR pada pembayaran QR.
“Mulai 1 November, penepian MDR untuk pembayaran DuitNow QR ini akan ditarik balik,” katanya.
Sebaliknya, ia menambah yuran 50 sen untuk urus niaga melebihi RM5,000 adalah sebenarnya untuk pemindahan dana rakan setara (peer-to-peer) daripada QR peribadi ke QR peribadi lain, bukan pembayaran kepada peniaga.
“Ini sama sekali tidak berkaitan dengan pembayaran QR kepada pedagang dan kedua-dua yuran tidak akan dikenakan untuk transaksi yang sama dalam apa-apa situasi,” kata PayNet.
Mengenai caj 50 sen pula, PayNet menjelaskan adalah tidak tepat untuk menyatakan caj dikenakan kepada pembayaran yang dibuat kepada peniaga dan juga tidak tepat untuk menyatakan MDR dicaj untuk pemindahan dana menggunakan QR peribadi.
“Caj 50 sen itu adalah untuk pemindahan dana melebihi RM5,000 menggunakan DuitNow QR peribadi,” katanya.