KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat, Datuk Seri Sim Choo Thiam gagal dalam permohonan supaya dilepas tanpa dibebaskan daripada empat tuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta bagi mendapatkan projek agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2021.
Dalam prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob turut menolak permohonan Choo Thiam supaya pendakwaan menyerahkan kepadanya pernyataan bertulis fakta yang memihak kepada pembelaan, di bawah Seksyen 51A (1)(c) Kanun Prosedur Jenayah dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah.
Menurut Choo Thiam fakta yang memihak kepada pembelaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hanya merekodkan kenyataan bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin pada petang 10 Mei lalu, selepas beliau didakwa pada hari yang sama.
Rozina menolak kedua-dua permohonan Choo Thiam selepas mendapati pertuduhan berkenaan boleh diperbaiki dan tidak memprejudiskan tertuduh.
Dalam prosiding hari ini, Choo Thiam selaku pemohon diwakili peguam bela Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad dan bertindak bagi pihak pendakwaan
Choo Thiam didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.
Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat itu mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN pada Jun 2021.
Bagi tiga lagi pertuduhan, beliau didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM3.5 juta, RM5.5 juta dan RM6 juta daripada Kim Hong sebagai dorongan untuk Hamzah membantu mendapatkan projek milik agensi di bawah KDN antara 19 hingga 30 Julai 2021.
Semua empat pertuduhan berkenaan dilakukan di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, di sini.
Choo Tiam didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – Berita Harian