KUALA LUMPUR: Peguam Negara yang baru dilantik, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dituntut memberi penjelasan lanjut, berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, penjelasan lebih lanjut akan dapat meyakinkan rakyat kerana kerajaan perlu mengakui banyak pihak tidak berpuas hati termasuk Majlis Peguam terhadap keputusan berkenaan.
Ahli Parlimen Bagan itu juga berharap kerajaan memberi tempoh setahun untuk menyempurnakan pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara.
“Hanya langkah seperti itu akan dapat meyakinkan rakyat bahawa reformasi masih membara bukan seperti dilaungkan pihak tertentu.
“Sudah tentu dengan adanya jawatankuasa ditubuhkan akan dapat meyakinkan rakuat mengenai niat baik Kerajaan Perpaduan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Sementara itu, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bangkit mencelah, bertanyakan Guan Eng sam ada ada beliau menjangkakan Pendakwa Raya dan Peguam Negara akan ditukar jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), seperti dikatakan Datuk Seri Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) sebelum PRU15 berlangsung.
Guan Eng dalam jawapannya berkata, Peguam Negara yang dilantik oleh kerajaan lalu dikekalkan oleh Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut membidas Radzi supaya tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu berkenaan.
“Bila kita kekalkan lantikan kerajaan lama, kenapa tidak bising, hanya bising bila tidak berpihak pada anda… jangan berpolitik di sini, ini tidak guna, tidak bawa kebaikan pada negara,” katanya.