CYBERJAYA: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui masih berasa geli untuk memakai baju yang mempunyai lambang Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, demi perpaduan dan kestabilan negara, beliau sanggup mengenepikan perasaan itu.
“Saya sebenarnya masih geli lagi kalau pakai baju logo dacing (logo Barisan Nasional), yalah, lebih 40 tahun kita melawan parti itu tetapi kini sudah berkawan.
“Saya ini apabila sudah berkawan, kita akan berkawan sungguh-sungguh, susah senang kita akan hadapi dan bincang bersama,” katanya seperti dilapor Utusan pada Isnin.
Pada masa sama, Mohamad turut menempelak tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa haram bagi pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai mengundi Suhaizan.
“Saya hormat dengan Muhyiddin, tetapi apabila dia cakap haram undi Suhaizan, itu akibatnya apabila berkawan dengan Pas. Kita tidak sepatutnya tentukan orang itu Islam atau tidak, masuk syurga atau neraka, itu Allah yang tentukan.
“Saya nak ingatkan kepada orang Islam, fatwa dikeluarkan PN termasuklah oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang boleh tolak ke tepi. Itu kerana fatwa dia berubah-ubah setiap kali tiba waktu pilihan raya.
“Masa Pas lawan UMNO dulu mereka kata lawan UMNO itu jihad, jika mati syahid, sembelihan UMNO tidak sah dan solat dengan imam UMNO tidak dibenarkan.
“Waktu aku jadi walaun dulu, aku ikut semua tu. Jadi bila datang Johor pada masa itu, terpaksa solat sendiri kerana semua imam di negeri ini UMNO ketika itu. Tetapi kemudian masa berpakat dengan UMNO, kata ini kerjasama anugerah tuhan,” ujarnya.