IPOH: Dua mangsa sesak nafas susulan insiden kebocoran gas ammonia di sebuah kilang ais di Persiaran Industri Rapat di Simpang Pulai di sini, awal pagi Selasa.
Mangsa membabitkan lelaki dan wanita masing-masing berusia 25 dan 33 tahun bagaimanapun stabil di zon kuning selepas dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
Kedua-dua mangsa bukan pekerja kilang ais terbabit, sebaliknya berada di kilang bersebelahan ketika kebocoran gas itu berlaku.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dibantu BBP Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 5.11 pagi.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat, penyelia kilang melaporkan paip saluran gas ammonia bocor dan bau gas dapat dikesan dalam jarak antara 30 hingga 90 meter.
“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Pasir Puteh menutup kebocoran dikenal pasti di bahagian injap tangki seterusnya mengambil bacaan di zon kawasan itu, selain mengenal pasti kebocoran yang masih terdapat pada tangki,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, insiden tersebut dapat dikawal pada jam 10 pagi, namun, pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan tiada lagi risiko.