JOHOR BAHRU: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin khuathir Kerajaan Perpaduan sekali lagi kehilangan majoriti dua pertiga, sekiranya peratusan keluar mengundi tidak cukup tinggi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.
Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lalu menyaksikan Selangor merekodkan peratusan keluar mengundi kira-kira 71 peratus, manakala pengundi masyarakat Cina yang melaksanakan tanggungjawab itu hanya 61 peratus.
“Angka ini menyebabkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kehilangan empat kerusi dengan majoriti yang sangat tipis, seterusnya tidak mendapat dua pertiga setelah menang 34 daripada 56 kerusi dipertandingkan.
“Kerusi yang tewas dengan majoriti tipis di bawah 1,000 undi itu membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil dengan 400 undi, Taman Medan (30 undi), Gombak Setia (58 undi) dan Sungai Kandis (167 undi).
“Saya tahu ramai yang katakan PH-BN ada peluang besar menang di Pulai, tetapi saya juga harap kita tidak terlalu selesa. Jika berpandangan seperti itu, akan jadi macam apa yang berlaku di Selangor,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Justeru, beliau mengingatkan pengundi di Parlimen Pulai untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada 9 September ini, kerana peratusan keluar mengundi yang tinggi dapat membantu menjamin kedudukan dua pertiga Kerajaan Perpaduan di Parlimen.
Pada PRN lalu, Amirudin berkata, ramai berpandangan Selangor pasti menang dan apabila terlalu yakin, ramai yang tidak turun mengundi.
Katanya perlu diingat, setiap undi adalah bermakna dan bernilai.
“Jika peratusan keluar mengundi naik sebanyak 0.5 peratus lagi, kita boleh menang empat kerusi ini dan sahkan majoriti dua pertiga dalam Dewan Negeri, tapi perkara sudah berlaku.
“Jadinya, pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram ingatkan rakan-rakan ini adalah untuk negara dan masa depan kita, pemulihan negara sedang dilakukan dan saya jamin Kerajaan Perpaduan kekal sampai habis penggal.
“Di Selangor lebih 60 peratus rakyat menyokong Kerajaan Perpaduan dan menyekat berlakunya gelombang yang dicanang Perikatan Nasional (PN) dan perkara ini perlu diteruskan di Parlimen Pulai ini,” katanya.
Selain itu, Amirudin juga meminta pengundi di Parlimen Pulai untuk terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, seterusnya menghentikan impian pembangkang untuk menjadikan Pulai sebagai tapak untuk cipta gelombang baharu.
“Pengundi perlu kekalkan kerusi ini (kepada PH-BN), majoriti dua pertiga ini membolehkan kerajaan lebih seimbang, sokonglah kepada Kerajaan Perpaduan dan kekalkan Pulai sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang berjasa besar,” katanya.