KUALA LUMPUR: Festival Precious of Malaysia bakal membuka tirainya buat kali kedua di Zebra Square, di sini bermula 10 hingga 15 Oktober depan.
Anjuran FM Group, festival itu mengetengahkan warisan dan budaya Malaysia menerusi kempen dan persembahan kebudayaan serta fesyen.
Festival itu juga mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Jabatan Warisan Negara.
Pengasas Precious of Malaysia, Farel Mikhail berharap agar pihaknya dapat memainkan peranan dalam memelihara dan memaparkan seni budaya dan warisan.
“Kami berharap ia dapat memberi impak positif kepada industri kebudayaan dan pelancongan, sekali gus dapat merancakkan dan mengimarahkan sektor seni kebudayaan, fesyen, pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Kami percaya, festival ini menjadi lambang kepada Malaysia menerusi satu acara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian festival Precious of Malaysia 2.0 di Zebra Square di sini pada Selasa.
Turut hadir merasmikan majlis berkenaan adalah Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Festival kali ini menampilkan kelainan dengan lagu tema, bagi menyemarakkan semangat cintakan tanah air.
Antara turut serta menjayakan festival tersebut adalah perancang majlis, Mirage by Pak Abu dan restoran Saprah.
Selain itu, institut pengajian tinggi yang terlibat dalam festival kali ini adalah Taylor University, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Komuniti Selayang.
Malah, Asian Fashion Designer Confederation tidak terkecuali tersenarai pada festival kali ini.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan festival berkenaan, yang menampilkan pelbagai aktiviti.
Ia antara lain termasuk ‘culture fashion’ yang mana, para pengunjung akan dapat menyaksikan pertunjukan fesyen kebudayaan pada 14 dan 15 Oktober.
Aktiviti lain termasuk pameran tanjak, persembahan kebudayaan, persembahan dan pertandingan silat, zumba tradisional, serta pertandingan makan nasi lemak terbanyak.
Hari kemuncak festival iaitu pada 15 Oktober akan menampilkan Hari Tanjak Malaysia dan Malam Kebudayaan.
Turut dijangka hadir pada hari kemuncak tersebut adalah Raja Muda Perlis yang akan berangkat mencemar duli.