BUKIT MERTAJAM: Polis menahan tiga lelaki susulan insiden pergaduhan di hadapan sebuah kuil di Alma di sini, ketika orang ramai sedang melakukan upacara keagamaan pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, ketiga-tiga mereka masing-masing berusia 21 hingga 25 tahun ditahan polis yang melakukan tugas menjaga keamanan di kawasan kuil berkenaan.
Menurut Cheng San, sekumpulan lelaki itu bergaduh antara satu sama lain dengan memukul menggunakan tangan dan kerusi pada jam 12.05 tengah malam.
“Pada ketika itu, terdapat orang ramai yang berada di kuil terbabit bagi melakukan upacara keagamaan,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Isnin.
Jelasnya, dua video berdurasi 14 dan 27 saat dimuat naik seorang pemilik akaun Twitter telah tular sekitar jam 10.15 pagi Isnin.
Cheng San berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan direman selama empat hari hingga Rabu ini.
Katanya, setakat ini punca pergaduhan itu masih dalam siasatan pihak polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan. – Awani