SUBANG JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengalu-alukan penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau berkata, perkara itu akan diusulkan pada Mesyuarat Tertinggi PN akan datang.
Lau berkata, beliau melihat aspirasi dan agenda yang dibawa MUDA selari dengan PN yang antirasuah, selain percaya dua wakil rakyat parti itu tidak wajar diminta melepaskan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang masing-masing kerana berpegang kepada prinsip parti mereka.
“Pendirian Gerakan ialah kita mengalu-alukan MUDA menyertai PN, tetapi kita ada prosedur bahawa komponen parti atau pertubuhan yang ingin bersama-sama PN harus mendapatkan persetujuan dan melalui peringkat Majlis Tertinggi.
“Gerakan berpendapat, MUDA boleh bersama-sama dengan PN bukan sahaja di blok pembangkang, malah boleh dimasukkan sebagai komponen parti atau sekutu atau ‘Friends of PN’ kerana objektif kita sama iaitu antirasuah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Ahad lalu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara rasmi mengumumkan keluar daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga.
Keputusan itu dibuat sebagai protes keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.
Lau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, setakat ini belum ada perbincangan rasmi diadakan bersama MUDA berhubung cadangan itu.
“Ketika memang kita nyatakan penerimaan MUDA sebagai pembangkang dan kita ada berjumpa di Parlimen tetapi belum bincang secara formal respons (Syed Saddiq) senyum nampak positiflah,” katanya.
Lau turut berpendapat, keputusan dibuat Syed Saddiq sebagai petanda baik dalam menafikan majoriti dua pertiga Kerajaan Perpaduan ketika ini.
“Ini sekali gus memperkukuhkan suara pembangkang di Parlimen dan kita akan teruskan peranan sebagai pembangkang dengan lebih efektif dan memantau kerajaan dengan lebih baik,” katanya.