HomeBeritaGigih berjualan di TikTok demi kos rawatan anak sakit paru-paru

Gigih berjualan di TikTok demi kos rawatan anak sakit paru-paru

CYBERJAYA: Siapa sangka, platform media sosial yang seringkali digunakan manusia untuk berhubung turut menjadi medium seseorang menjana pendapatan demi kesihatan anaknya.

Itulah yang dialami seorang ibu tunggal, Siti Nor Fathin Haron Daai, 34, yang tekad mempelajari medium pemasaran termasuk TikTok demi mencari pendapatan menjual produk kesihatan untuk menyara anaknya yang menghidap penyakit paru-paru.

Menurut Siti, kehidupannya terumbang-ambing selepas dia berpisah dengan bekas suami beberapa bulan setelah anaknya, Luthfiya Fitiya Muhammad Luqman dilahirkan dengan masalah kesihatan pada enam tahun lalu.

Katanya, dia bagaimanapun telah diajak oleh adiknya untuk menjadi ejen produk kecantikan dan diberikan sokongan dalam teknik pemasaran termasuklah menerusi media sosial TikTok untuk meraih jualan secara harian.

“Saya gigih belajar macam mana untuk berkomunikasi dan menjual produk di TikTok dan Alhamdulillah kini kos rawatan serta keperluan anak saya terjamin selepas enam tahun menjual produk kesihatan dan kecantikan.

“Anak saya perlu menjalani pemeriksaan berkala di hospital serta kos penjagaan hariannya sekitar RM400 sebulan, dia mudah sakit kalau cuaca terlalu sejuk dan boleh kata dalam setahun mesti akan masuk wad kanak-kanak,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Bukanlah suatu hal yang mudah untuk dirinya harungi kerana setelah enam tahun menjadi ejen produk baru kini dia berjaya membentuk kumpulan sokongannya sendiri dan membantu para ibu tunggal yang lain untuk terlibat dalam perniagaan secara dalam talian.

“Sekarang pendapatan saya hanya melalui penjualan dalam talian dan saya mampu mengambil insurans kesihatan anak, membuka akaun bank simpanan untuknya dan pendidikan sejak usianya tiga tahun.

“Saya tidak perlu bergantung pada bantuan luar atau merintih nasib, saya kini boleh berjalan sendiri malah mempunyai team saya sendiri untuk memasarkan produk ini kerana harganya murah dan mudah dijual,” kongsinya.

Author

Pilihan Editor