JEPUN melancarkan misi ke bulan menerusi pelancaran roket H2A yang membawa pendarat bulan pada Khamis.
Pelancaran itu adalah sebahagian inisiatif Jepun untuk merealisasikan pendaratan pertama negara itu ke bulan.
Difahamkan setakat ini, hnya Amerika Syarikat (AS), Russia, China dan India yang berjaya melancarkan misi ke bulan, lapor portal Xinhua.
Roket itu berjaya dilancarkan selepas mengalami tiga kali penangguhan dalam seminggu pada bulan lalu akibat cuaca buruk.
Disaksikan kira-kira 35,000 orang secara dalam talian, roket H2A berlepas dari Pusat Angkasa Tanegashima dan dijangka tiba di bulan pada awal 2024.
Roket itu membawa Smart Lander JAXA untuk Menyiasat Bulan (SLIM) yang antara fungsinya ialah menunjukkan teknik pendaratan yang tepat dan memeriksa batu-batuan di bulan.
SLIM diberi nama gelaran sebagai ‘Moon Sniper’ kerana ia direka untuk mendarat dalam jarak 100 meter di kawasan sasaran di permukaan bulan.
Malah, roket buatan tempatan itu turut membawa Misi Pengimejan dan Spektroskopi X-Ray (XRISM) untuk memerhati plasma dalam bintang dan galaksi.
Pelancaran itu merupakan yang pertama melibatkan roket besar Jepun selepas pelancaran sulung roket generasi akan datang, H3 gagal pada Mac lalu.