HomeBeritaHari hitam untuk Parlimen Malaysia - Radzi Jidin

Hari hitam untuk Parlimen Malaysia – Radzi Jidin

KUALA LUMPUR: Pembangkang menyifatkan mesyuarat khas Dewan Rakyat semalam sebagai ‘satu hari hitam’ untuk Parlimen Malaysia meskipun ia berakhir dengan kelulusan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ahli Parlimen Putrajaya daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Radzi Jidin berkata, jejak rekodnya sebagai ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat dikenali sebagai seorang yang bersopan dan amat mematuhi peraturan mesyuarat, tercalar.

Bagaimanapun, setelah dituduh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dirinya yang juga bekas Menteri Pendidikan itu melakukan sesuatu yang buruk, beliau tidak boleh menerima dan bangkit mempertahan maruahnya di khalayak.

“Apabila saya tiba-tiba dituduh tiada hujan tiada ribut, dituju kepada saya seolah-olah saya melakukan kesalahan. Permintaan saya tidak susah, saya minta Anwar tarik balik (tuduhan). Itu sahaja.

“Mengapa dalam banyak-banyak jawapan mahu tuduh saya? Tiada kaitan langsung. Ketika itu beliau menjelaskan tentang DNAA (kes melepaskan tanpa dibebaskan oleh mahkamah), apa kaitan dengan saya?

“Sebab itu saya tidak akan duduk selagi beliau tidak tarik balik. Kalau kami dalam dewan dituduh macam-macam tanpa bukti, minta tarik balik pun tidak boleh, kami tidak dapat keadilan. Bagaimana untuk rakyat? Ini mesej paling penting, satu hari hitam buat Parlimen Malaysia,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, petang semalam.

Dalam sidang media itu, beliau ditemani lebih 20 ahli Parlimen pembangkang antaranya Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

KEKECOHAN

Semalam, kekecohan berlaku di antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat apabila Anwar menyentuh isu melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan.

Semasa menggulung pembentangannya, penjelasan Anwar melibatkan Ahmad Zahid amat mengundang kemarahan Radzi apabila beliau menyifatkan Radzi tahu apa yang berlaku semasa mentadbir Kerajaan Persekutuan dan ‘melakukan perkara sama’ (melepaskan kes mahkamah seseorang yang dituduh).

Pada awalnya, ketika Anwar meneruskan penjelasan, Radzi dilihat ketawa sehingga Perdana Menteri berkata sesuatu yang membuatkannya tidak senang duduk.

Anwar: Anda boleh gelak Putrajaya, kerana anda buat perkara itu. Semasa pentadbiran (PN), anda buat perkara itu (melepaskan kes mahkamah seseorang).

Radzi: Ini perkara yang jahat. Peraturan 36 (6). Tarik balik! Tidak ada kaitan dengan saya. Tarik balik! Tarik balik! Tarik balik!

KELUAR DEWAN

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bagaimanapun berusaha meredakan pergaduhan itu dan mengarahkan Radzi untuk duduk dan mendengar penjelasan Anwar.

Bagaimanapun, Radzi masih berdegil sehingga diarah keluar dewan selepas mengganggu sesi penggulungan perbahasan usul KSP RMK12 bagi Kementerian Kewangan.

Beberapa Ahli Parlimen PN termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan itu juga bertindak keluar dari Dewan Rakyat. – Utusan

Authors

Pilihan Editor