HomeSukanHarimau Muda mahu 'tiru abang' pilih lawan handal

Harimau Muda mahu ‘tiru abang’ pilih lawan handal

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) tampak bakal mengikut ‘selera’ seperti skuad Harimau Malaya apabila akan memilih lawan yang benar-benar berkualiti sebagai persediaan bagi mengharungi saingan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Qatar, April depan.

Pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata tempoh berbaki enam bulan yang ada sebelum sepak mula itu menyaksikan mereka perlu segera merangka persediaan teliti termasuklah memastikan skuad dapat menghimpunkan barisan pemain dengan lebih awal.

Shahril menjelaskan pihaknya akan mengintai pasukan yang berada pada ranking yang lebih baik namun semuanya akan bergantung kepada undian Piala Asia B-23 yang akan diumumkan nanti.

“Kalau boleh, saya tidak mahu lagi mengadakan perlawanan persahabatan membabitkan pasukan dalam negara saja kerana ia dilihat kurang memberi impak dalam membentu skuad lebih mantap.

“Mungkin kita merangka perlawanan bertemu pasukan gergasi Asia atau beberapa siri perlawanan di luar negara seperti dilakukan pasukan Harimau Malaya.

“Paling penting adalah kita akan mengadakan perbincangan dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan pasukan Liga Super supaya dapat memberi pelepasan kepada pemain muda untuk beraksi mewakili negara,” katanya.

Terdahulu, skuad bimbingan E Elavarasan mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 sebagai satu daripada empat naib juara terbaik pada kempen kelayakan yang berlangsung di Thailand.

Ini adalah kali ketiga skuad negara ke pentas terbabit selepas 2018 dan 2022 dengan pencapaian terbaik adalah mara sehingga ke suku akhir edisi 2018 di China. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor