HomeBeritaHimpunan Aman Selamatkan Malaysia berakhir dengan aman

Himpunan Aman Selamatkan Malaysia berakhir dengan aman

KUALA LUMPUR: Himpunan Aman Selamatkan Malaysia anjuran Pemuda Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu berakhir dengan peserta bersurai secara aman.

Kira-kira 1,000 peserta mengakhiri perhimpunan itu dengan nyanyian lagu Negaraku dan bacaan doa di hadapan kompleks beli belah Sogo di sini pada jam 3.30 petang.

Sekitar suasana Himpunan Aman Selamatkan Malaysia di Masjid Jamek Kampun Baru di ibu negara pada Sabtu.

Terdahulu, peserta perhimpunan berarak dengan berjalan kaki dari Masjid Jamek Kampung Baru, di sini, ke kompleks Sogo selepas menunaikan solat Zohor bermula 1.50 tengah hari.

Perarakan diketuai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Sekretariat Himpunan Aman Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard.

Tun Faisal berucap ketika Himpunan Aman Selamatkan Malaysia di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru pada Sabtu.

Tun Faisal berkata, himpunan itu menuntut tiga perkara yang antara lain meminta agar sistem perundangan di negara ini memberi keadilan kepada semua pihak, tanpa mengira sebarang status dan pangkat.

Selain itu, ia turut menuntut kerajaan membebaskan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kuasa eksekutif.

Lebih penting, satu lagi tuntutan adalah dengan melakukan siasatan semula terhadap keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan.

Tun Faisal bersama Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali turut hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan polis.

Laporan polis dibuat berhubung keputusan DNAA Ahmad Zahid.

Author

Pilihan Editor