KUALA TERENGGANU: Penganjur Himpunan RXZ Member 5.0 belum memutuskan sama ada bakal meneruskan lagi penganjuran program itu atau sebaliknya pada tahun depan.
Malah pihak penganjur membayangkan penganjuran yang bermula edisi pertama pada 2017 itu mungkin yang terakhir pada tahun ini.
Pengarah program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, ia susulan ada peserta program terbesar di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak selama dua hari yang berakhir semalam menghadapi masalah termasuk ramai ditahan pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan motosikal masing-masing.
“Sambutan Himpunan RXZ Member 5.0 pada kali ini begitu meriah dan luar biasa berbanding RXZ Member 1.0 hingga 4.0, lebih 60,000 peserta seluruh negara hadir termasuk dari Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura.
“Mereka sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menyertai dan memeriahkan lagi program tahunan kali kelima itu yang menawarkan hadiah cabutan bertuah yang lumayan termasuk motosikal Ducati.
“Namun bagi saya ia begitu mengecewakan dengan apa yang berlaku sepanjang dua hari penganjuran itu kerana ada peserta ditahan dan motosikalnya disita pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan.
“Saya sendiri pun perlu berjumpa beberapa kali dengan pihak polis untuk menyelesaikan masalah itu kerana ramai yang meminta tolong kerana sambutan diterima daripada peserta luar biasa pada kali ini.
“Saya menangis kecewa dan buntu, namun saya tidak nafikan yang ditahan itu melakukan pelbagai kesalahan walaupun garis panduan dan peraturan sudah dimaklumkan.
“Jadi untuk Himpunan RXZ Member 6.0 pada tahun depan saya belum pasti sama ada program tahun ini yang terakhir atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak.
Terdahulu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 126 motosikal atas pelbagai kesalahan sepanjang sembilan hari Operasi Khas Motosikal (OKM) peringkat negeri Terengganu termasuk peserta Himpunan RX-Z Member 5.0. – Harian Metro