CYBERJAYA: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh tidak mempedulikan kecaman yang dibuat atas tindakannya turun padang bagi menyelesaikan isu kekurangan beras putih tempatan ketika ini.
Beliau yang juga EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkata, kekerapannya turun padang adalah berdasarkan kepada keluhan rakyat yang ketika ini berhadapan dengan kesulitan untuk mendapatkan bekalan beras tempatan bersubsidi.
“Kalau tidak tahu apa isu sebenar dan keperitan rakyat di bawah, lebih baik diam daripada bercakap. Nampak sangat kurang cerdik.
“Tanggungjawab saya menjaga kepentingan rakyat, bukan menjaga kepentingan tauke besar. I don’t care! (Saya tidak peduli),” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Rabu.
Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, yang menyelar tindakannya membuat ugutan membatalkan lesen pengilang sekiranya tidak mahu menjual beras tempatan dengan harga ditetapkan kerajaan.
Menerusi perkongsiannya di Facebook, Lian Ker menyifatkan tindakan dilakukan Dr Muhamad Akmal itu sebagai sesuatu yang jelek dan tidak wajar.
Dr Muhamad Akmal dalam satu klip video yang tular sejak Ahad dilaporkan berkata, sekiranya pengilang itu masih enggan mengeluarkan beras tempatan dengan paket serta harga yang ditetapkan kerajaan, pihaknya tidak teragak-agak untuk menarik lesen kilang terbabit.
Katanya, margin keuntungan yang kecil tidak boleh dijadikan alasan oleh pengilang untuk tidak mengeluarkan beras tempatan.
“Sekarang ini you punya lesen, you kata rugi tak mahu jual (beras tempatan), saya boleh panggil kerajaan tarik you punya lesen semua,” katanya dalam video yang turut dimuat naik di Facebooknya pada Isnin.