HomeBeritaMahkamah & JenayahIbu didakwa simbah anak dengan air panas kerana habiskan data internet

Ibu didakwa simbah anak dengan air panas kerana habiskan data internet

 

MELAKA: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini, atas pertuduhan menyimbah air panas ke atas anaknya dalam kejadian tahun lalu.

Tertuduh, berusia 37 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 2.56 pagi di sebuah rumah di Sungai Udang, pada 27Jun 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama yang memperuntuk hukuman sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Terdahulu, prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Nazrin Ali Rahim memohon agar jaminan tidak diberikan dengan mengambil kira faktor tertuduh tinggal bersama mangsa, selain dia tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Difahamkan, kejadian berpunca apabila tertuduh berang dengan mangsa yang juga anak keduanya kerana menghabiskan data internet telefon bimbitnya. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor