HomeBeritaIsu DNAA Zahid, PM akan jawab di Dewan Rakyat esok

Isu DNAA Zahid, PM akan jawab di Dewan Rakyat esok

 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjawab mengenai isu keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat, esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Anwar berkemungkinan akan menjawab di Dewan Rakyat pada pada jam 2.30 petang.

“Adakah Perdana Menteri akan menjawab? Tuan punya badan (Anwar) ada di sini. Dia buat (tanda) good itu dia jawab esok. Insya-Allah, (jam) 2.30 hingga 3.30 petang.

“Soalan itu YB (Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan) boleh tanya, tetapi komitmen daripada kerajaan hari ini, kita akan berlaku adil,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina berkata demikian ketika menjawab soalan Takiyuddin adakah Anwar akan menjawab isu DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi di Dewan Rakyat.

Minggu lalu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mencadangkan supaya Anwar menjawab sendiri keputusan DNAA Ahmad Zahid.

Sementara itu, Azalina ketika penggulungan perbahasannya turut menyatakan Kerajaan Madani komited memisahkan Peguam Negara daripada kuasa pendakwaan.

Beliau juga mempersoalkan Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini pernah menguasai kerajaan tidak melakukan pemisahan kuasa itu.

“Dalam isu ini, kami di sini cakap kami buat. YB di sana (pembangkang) bukan sahaja tak buat, cakap pun tak.

“Kerajaan Madani ini komited kepada tatakelola yang lebih adil. Itu sebab kami #walkthetalk, mereka (pembangkang) #theydontwalk dan #theydonttalk,” katanya. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor