HomeBeritaPolitik'Jangan risau, segalanya damai', Ahmad Maslan ulas kes Zahid Hamidi

‘Jangan risau, segalanya damai’, Ahmad Maslan ulas kes Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan menganggap tindakan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan sebagai keputusan tepat.

Berucap ketika Forum Pencarum Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) 2023 di sini pada Selasa, pertuduhan yang dihadapi pemimpin kerajaan itu berkemungkinan gangguan besar kali terakhir kepada Kerajaan Perpaduan, sejak 10 bulan ia mengambil alih pemerintahan negara.

Kerajaan Perpaduan juga terselamat daripada cabaran kuat pihak pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan lalu.

Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengekalkan pemerintahan di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dengan kemenangan selesa, namun menang tipis jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

“Jangan risau kerana segalanya telah damai.

“Yang dizalimi juga telah dilepaskan semalam (Isnin). Alhamdulilah, beliau dizalimi lima tahun manakala saya pula tiga tahun. Jadi, saya tahulah apa maksud kezaliman,” sindir Ahmad Maslan turut merujuk kepada dirinya yang pernah berdepan dengan pertuduhan mahkamah.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang bakal berlangsung pada Sabtu ini, Ahmad Maslan yakin bahawa calon yang diketengahkan Kerajaan Perpaduan akan menang.

Beliau juga percaya gabungan PH-BN akan memenangi PRK DUN Pelangai yang diadakan pada 7 Oktober ini.

Malah katanya, setiap kerusi Parlimen dan DUN yang dikosongkan selepas ini sudah tentu akan didominasi PH-BN.

“Kita doa wakil rakyat akan panjang umur. Saya juga harap PRK akan berhenti dan mudah-mudahan kita akan terus kekal supaya ekonomi sentiasa baik,” tambahnya.

Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong berikutan penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Sementara itu, kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam bulan lalu, yang turut mengorbankan sembilan individu lain.

Author

Pilihan Editor