ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat hari ini kepada 268 orang daripada 81 keluarga, ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 pagi.
Angka itu bertambah berbanding 228 mangsa daripada 69 keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS, iaitu dua di Kubang Pasu dan satu di Kota Setar, setakat jam 12 tengah malam tadi.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, sebuah lagi PPS dibuka jam 11 malam tadi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman di daerah Kota Setar, menempatkan 40 mangsa daripada 12 keluarga.
Beliau berkata, PPS di Dewan Seri Bagan, Taman Seri Bagan dalam daerah Kota Setar yang dibuka jam 7 petang semalam menempatkan seramai 40 mangsa daripada 12 keluarga.
“Dua PPS di Changlun, Kubang Pasu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun menempatkan 150 mangsa daripada 43 keluarga manakala PPS di Dewan Kampung Tradisi pula menempatkan 38 mangsa daripada 12 keluarga.
“Ini menjadikan empat PPS dibuka di dua daerah iaitu masing-masing dua di Kota Setar dan Kubang Pasu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Suhaimi berkata, jumlah keseluruhan mangsa terdiri daripada 55 lelaki dewasa, 81 wanita dewasa, 38 kanak-kanak lelaki, 42 kanak-kanak perempuan, 44 warga emas, tujuh bayi dan seorang orang kurang upaya (OKU).
Katanya, operasi pemindahan dan pemantauan di lokasi banjir sedang dilakukan anggota APM di dua daerah terbabit.
Dalam pada itu, tiga sungai di negeri ini masih menunjukkan bacaan melebihi paras bahaya setakat jam 8 pagi hari ini.
Berdasarkan laman Public Infobanjir, aras air Sungai Laka di Kampung Pasir, Kubang Pasu mencatatkan 22.24 meter manakala Sungai Padang Terap di Kepala Batas di daerah itu turut menunjukkan bacaan 4.15 meter dan Sungai Pendang di Pekan Pendang menunjukkan aras air 2.82 meter.
Ketiga-tiga sungai berkenaan sudah melepasi paras bahaya dan menunjukkan trend air menaik.
Selain itu, dua lagi aras sungai melebihi paras amaran iaitu Sungai Bata di Kampung Jeragan, Kubang Pasu mencatatkan bacaan 19.46 meter dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar menunjukkan 1.6 meter. – Astro Awani