HomeBeritaKali ketiga dipanggil, Ahmad Fadhli sekali lagi beri keterangan Himpunan Aman

Kali ketiga dipanggil, Ahmad Fadhli sekali lagi beri keterangan Himpunan Aman

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mengesahkan bahawa beliau dipanggil pihak polis untuk memberi keterangan, berhubung isu Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang berlangsung pada 16 September lalu.

Ahmad Fadhli berkata, keterangan itu dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada jam 11 pagi Selasa.

Jelasnya, ini merupakan kali ketiga beliau dipanggil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memberi keterangan untuk tempoh masa sebulan.

“Alhamdulillah, pihak polis sangat profesional dalam menjalankan tugas, namun kerana ada laporan, siasatan perlu dibuat.

“Kita bagi kerjasama, dan pihak ‘sana’ teruskanlah buat laporan dan tekanan, mana tahu kot tiba-tiba jadi pembangkang semula, tiada peluang pula nak bagi tekanan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Tangkap layar hantaran di laman Facebook Ahmad Fadhli.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengenal pasti 28 individu untuk dirakam keterangan, bagi membantu siasatan berhubung himpunan tersebut mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, daripada jumlah itu, pihaknya sudah merakam percakapan seramai 16 individu dan berharap dapat menyelesaikan kertas siasatan berkaitan himpunan itu dalam masa seminggu.

Kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Author

Pilihan Editor