SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut, selepas dirempuh sebuah pesawat baru-baru ini, lapor NDTV.
Jet milik pasukan tentera Itali itu terhempas ketika melakukan latihan di bandar Turin, seterusnya mengorbankan kanak-kanak tersebut yang berada di dalam sebuah kereta di lapangan.
Video tular memaparkan detik cemas ketika jet yang berada di ruang udara terbang tinggi dan rendah sebelum terhempas ke tanah, terbakar dan mengeluarkan kepulan asap hitam.
Agensi berita Itali, Agi melaporkan, abang mangsa yang berusia sembilan tahun turut cedera parah, sementara ibu bapa dan juruterbang jet terbabit berada dalam keadaan selamat.
ITALY :Terrible accident at Torino Airportwhere a plane from the Frecce Tricolori, the Italian patrol, crashed during rehearsals for the Air Force centenary meeting. The pilot ejected safely. #ITALY #planecrash #Torino pic.twitter.com/GyOvoyqS07
— Shivendra Pratap Singh (@vatsalshivendra) September 16, 2023
Siasatan awal mendapati, jet terbabit mungkin bertembung dengan sekawanan burung, menyebabkan haiwan terbabit memasuki dan merosakkan enjin kenderaan tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Matteo Salvini menerusi hantaran di laman X berkata, juruterbang tersebut bertindak melompat keluar dari jet dengan payung terjun.
“Ini merupakan tragedi yang dahsyat yang memerlukan sokongan doa, pelukan dan ucapan takziah,” katanya.
Turut mengucapkan takziah atas tragedi itu adalah Menteri Pertahanan, Guido Crosto yang menyatakan bahawa kementeriannya sudah menyediakan bantuan dan kemudahan kepada pihak yang terlibat dalam insiden tersebut.