HomeBeritaKeluar fatwa haram, Bukit Aman akan panggil Muhyiddin

Keluar fatwa haram, Bukit Aman akan panggil Muhyiddin

CYBERJAYA: Selepas menerima pelbagai kecaman berhubung kenyataan fatwa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipanggil pihak polis untuk diambil keterangan tidak lama lagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Beliau berkata, polis menerima satu laporan terhadap kenyataan Muhyiddin itu yang dibuat di ibu negara pada Ahad.

“Ya kita ada terima satu laporan polis dan kita sudah buat siasatan.

“Kita akan panggil beliau (Muhyiddin) dalam masa terdekat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Razaruddin berkata, siasatan terhadap Muhyiddin dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Terdahulu, Muhyiddin dilapor mengeluarkan ‘fatwa’ haram mengundi calon PH, Suhaizan Kayat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia sebagai bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai, berikutan kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

“Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat (calon PH di Parlimen Pulai), bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun.

“Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya ini, ikut fatwa mana. Namun tak boleh (undi) kerana situasi yang sudah berlaku sekarang, sudah sembilan bulan berlalu ujian (bagi rakyat) macam soal kenaikan harga barang,” katanya.

Susulan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar kenyataan yang dibuat Muhyiddin dan menyifatkan fatwa politik dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu semata-mata untuk kepentingan politik

“Ada seorang yang bukan ulama telah mula keluarkan fatwa politik kononnya undi Suhaizan Kayat haram.

“Saya hendak tanya dengan orang itu (Muhyiddin) ayat Al-Quran dari mana? Hadis dari mana? Qias dari mana? Pandangan ijmak ulama dari mana?

“Ketika beliau (Muhyiddin) menjadi sebahagian daripada PH 1.0 dulu, semuanya halal. Apabila tidak sealiran dengan PH, keluarlah fatwa yang pelbagai,” katanya.

Author

Pilihan Editor