HomeBeritaKerajaan jamin tak bersikap kuku besi kepada media

Kerajaan jamin tak bersikap kuku besi kepada media

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan memberi jaminan tidak akan bersikap kuku besi terhadap mana-mana organisasi dan pengamal media, sebagaimana yang pernah berlaku dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil, hak dan kebebasan media di bawah Kerajaan Perpaduan akan tetap dipertahankan.

“Saya beri jaminan kita tidak akan bersikap kuku besi seperti yang berlaku dalam pentadbiran-pentadbiran sebelum ini. Itu jaminan saya berikan kepada rakan-rakan media.

“Kalau dilihat, sepanjang saya berkhidmat sebagai Menteri KKD, tiada seorang pun wartawan ditahan pihak polis.

“Tidak ada satu akhbar pun yang ditutup seperti pernah berlaku sebelum ini. Sudah pasti ini adalah satu perkara yang kita akan pertahankan,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Beliau berkata demikian mengulas kritikan beberapa pihak terhadap tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang menyekat kandungan tertentu yang disiarkan oleh portal berita dan laman dalam talian mereka.

Selain itu, Fahmi menjelaskan, beliau bersedia bertemu dengan semua pihak untuk meneliti setiap perkara yang dibangkitkan, supaya mereka faham mengapa tindakan berlandaskan undang-undang itu dilakukan.

Beliau berkata, pihaknya juga meletakkan kepercayaan kepada MCMC yang proaktif menghubungi pihak-pihak yang berkenaan bagi menyampaikan penjelasan berhubung mengapa tindakan tersebut dilakukan.

“Sudah pasti tindakan ini jauh lebih baik daripada apa yang pernah dilalui oleh rakan-rakan media sebelum ini. Semestinya, saya menggalas dalam tanggungjawab, sebagai menteri, saya turut berpegang prinsip-prinsip itu dan antara buktinya, usaha kami untuk menggubal Akta Majlis Media Malaysia yang mana diharapkan selepas terbentuk majlis tersebut, maka, isu melibatkan aspek kewartawanan saya terima kenyataan dan pandangan disampaikan

“Saya harap akan ada penambahbaikan yang dilakukan supaya kita jamin dan terus jamin serta pertahankan hak media terus bebas buat laporan, tetapi, beberapa elemen seperti fitnah atau pun maklumat yang tidak betul contoh pada PRN baru-baru ini, terdapat media yang sangat tersohor menerbitkan satu berita ada ahli politik yang ditahan polis.

“Tetapi, terbukti perkara itu palsu. Jadi, perkara-perkata seperti ini harapan saya rakan-rakan media dapat bincang untuk pastikan ia tidak berulang. Kerana dalam kita membuat laporan, penting untuk membuat laporan yang tepat,” katanya.

Author

Pilihan Editor