HomeBeritaKerajaan kaji penambahbaikan pencen pesara kerajaan - Ahmad Maslan

Kerajaan kaji penambahbaikan pencen pesara kerajaan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang membuat kajian tentang penambahbaikan pencen dalam kalangan penjawat awam, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan I berkata, kerajaan ketika ini membelanjakan sebanyak RM31 bilion untuk pencen kepada lebih 900,000 pesara, manakala jumlah pesara meningkat dengan anggaran 30,000 hingga 32,000 orang setiap tahun.

Tidak menganggap perkara itu sebagai beban, Ahmad sebaliknya berkata, kerajaan lebih komited untuk membayar skim pencen termasuk pencen terbitan.

“Kita anggap sebagai komited untuk kita membayar pencen termasuk pencen terbitan kepada isteri dan anak-anak yang berumur kurang 24 tahun. Malah, anak OKU (Orang Kelainan Upaya) akan dapat seumur hidup.

“Baru-baru ini saya dihubungi oleh seorang Ahli Parlimen yang mengadu jumlah pencennya sedikit kerana tak termasuk dalam skim yang menaikkan pencen dalam pencen, berikutan dia dilantik menjadi Ahli Parlimen lebih awal.

“Saya telah menyatakan hasrat beliau kepada pegawai kanan di Kementerian Kewangan ketika ini, yang mana bukan hanya gaji diteliti, tetapi pencen juga dikaji,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Forum Pencarum Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Selasa.

Susulan itu, Ahmad berkata, kerajaan akan menambah usaha untuk mengutip cukai dengan lebih efisyen melalui pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC); serta dividen daripada pertubuhan dan organisasi besar.

“Dari semasa ke semasa tentunya kita akan dapat dana-dana yang bertambah setiap tahun,” jelasnya.

Untuk rekod, seramai 768,947 pesara merupakan penerima pencen yang berada di bawah KWAP.

Author

Pilihan Editor