HomeBeritaKertas siasatan Hadi Awang dihantar ke Pejabat Peguam Negara - KPN

Kertas siasatan Hadi Awang dihantar ke Pejabat Peguam Negara – KPN

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan polis berhubung kenyataan dikeluarkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berhubung mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Kertas siasatan yang sudah dilengkapkan itu diserahkan pagi Khamis, sebelum sebarang tindakan susulan diputuskan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya kini sedang menunggu sebarang arahan susulan daripada Pejabat Peguam Negara.

“Kertas siasatan Abdul Hadi itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pagi tadi, kita menunggu tindakan selanjutnya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Isnin lalu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, merekod keterangan Abdul Hadi berhubung satu kenyataan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, Johor, bulan lalu.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, Abdul Hadi hanya menjawab lima daripada 24 soalan daripada pihak polis.

Ketika proses rakaman percakapan itu, Abdul Hadi memilih untuk menjawab baki 19 soalan polis di mahkamah.

Abdul Hadi disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Berhubung siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kenyataannya yang dikatakan menghina institusi diraja, Razarudin berkata, kertas siasatan itu juga sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, Selasa lalu.

Author

Pilihan Editor