KUALA LUMPUR: Ketika desas-desus mengenai penggantinya selaku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hangat diperkatakan, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebaliknya memilih berteka-teki mengenai tokoh yang layak menduduki kerusi panas itu.
Sambil tidak menafikan dan mengiyakan mengenai desas-desus bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dikaitkan dengan jawatan itu, Norza memilih jalan tengah dengan menyifatkan kedua-dua tokoh berkenaan layak menggantikan tempatnya.
Norza yang baru kembali dari luar negara bagaimanapun menegaskan semua keputusan hanya akan ditentukan oleh Ahli Majlis BAM nanti.
“Apapun hala tuju BAM selepas saya, saya kena bincang dengan Ahli Majlis saya.
“Tentu mereka yang disebut-sebut itu layak namun saya serahkan kepada Ahli Majlis nanti untuk menilai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, spekulasi pengganti Norza hangat diperkatakan selepas beliau mengumumkan untuk melepaskan yang disandangnya lebih awal hujung tahun ini berbanding selepas Sukan Olimpik 2024.
Selain Khairy dan Tengku Zafrul, turut digembar-gemburkan adalah bekas Timbalan Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Razali Ibrahim dan Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.
Malah, bekas legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut dicadangkan.
Apapun, desas-desus itu pasti berpanjangan lagi apabila Norza memberitahu akan mengadakan mesyuarat Ahli Majlis BAM bagi membincangkan penggantinya.
“Tak tahu lagi (bila mesyuarat Ahli Majlis). Saya baru balik,” katanya. – Berita Harian