HomeBeritaLaporan akhir nahas Elmina pada Ogos 2024

Laporan akhir nahas Elmina pada Ogos 2024

CYBERJAYA: Laporan akhir nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 di Elmina, Selangor akan selesai selewat-lewatnya pada Ogos 2024.

Kementerian Pengangkutan memaklumkan, perkara itu selaras dengan Annex 13 Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang memperuntukkan tempoh 12 bulan dari kemalangan tersebut untuk melengkapkan dokumen tersebut.

Menurut kementerian itu, pihaknya telah menerima laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) nahas itu bagi memenuhi standard Annex 13 kepada Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13) yang memerlukan penyediaan laporan awal dalam tempoh 30 hari daripada insiden tersebut.

“Laporan ini mengandungi pernyataan fakta dan penemuan awal yang telah ditentukan sehingga waktu penerbitan laporan ini. Laporan Awal ini harus dianggap sebagai tentatif dan boleh diubah atau diperbetulkan jika terdapat maklumat dan bukti tambahan,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Laporan awal boleh dimuat turun di pautan https://www.mot.gov.my/en/aviation/reports/a05-23.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan merakamkan penghargaan kepada usaha teliti BSKU dan bertekad untuk memperkasakan keselamatan penerbangan berdasarkan penemuan biro.

“Kementerian juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat dan Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) Singapura atas bantuan yang diberi di dalam penyiasatan BSKU melalui Accredited Representative masing-masing dan penasihat-penasihat teknikal mereka sama ada di dalam negara atau di luar negara.

“Sekali lagi, Kementerian Pengangkutan menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

Pada 17 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan insiden pesawat ringan jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Selangor dan mengorbankan 10 individu termasuk pemandu kereta dan penunggang motosikal

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu disahkan maut di samping dua juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian itu yang berlaku pada pukul 2.48 petang.

Pesawat itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam.

BERITA BERKAITAN:

Tiada objek asing pada enjin pesawat terhempas di Elmina

Author

Pilihan Editor