KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu memberi penjelasan terbuka susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas dan membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapinya.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata, penjelasan itu penting dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak terhadap keputusan itu.
“DAP mengambil maklum pandangan kritikal daripada pelbagai pihak dan orang ramai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan 47 kes yang menbabitkan Ahmad Zahid.
“DAP juga menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun harus memberikan penjelasan terbuka faktor yang mendorong kepada keputusan berkenaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.
Untuk rekod, kontrak Idrus sebagai peguam negara tamat pada Selasa dan bakal digantikan Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang pelantikannya bakal berkuat kuasa Rabu.
Pada Isnin, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat ini.
Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Loke berkata, pihaknya juga sedar permohonan berkenaan yang dibuat pihak pendakwaan untuk menamatkan prosiding sementara membuat siasatan lebih terperinci, adalah budi bicara Peguam Negara dan diputuskan oleh mahkamah.
Namun, tegasnya, penjelasan mengenai keputusan itu adalah penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.
“DAP akan sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah,” katanya.