HomeBeritaMalaysia Airlines benarkan penumpang bawa makanan sendiri untuk laluan terjejas

Malaysia Airlines benarkan penumpang bawa makanan sendiri untuk laluan terjejas

CYBERJAYA: Syarikat penerbangan, Malaysia Airlines Bhd (MAB) kini membenarkan para penumpangnya membawa makanan sendiri di atas pesawat untuk laluan terjejas dalam tempoh peralihannya kepada penyedia perkhidmatan katering baharu.

Bagaimanapun, makanan pemanasan sendiri dan makanan tidak halal adalah dilarang sama sekali.

Menerusi kenyataan yang tertakluk dalam Soalan Lazim di laman web MAB, syarikat penerbangan itu menyatakan pilihan makanan dan minuman (F&B) alternatif tertakluk kepada keperluan cecair, aerosol dan gel (LAG), yang tidak boleh melebihi 100 mililiter (ml) untuk penumpang antarabangsa yang berlepas dari atau transit di lapangan terbang antarabangsa di Malaysia.

Sebelum ini, Malaysia Airlines memuktamadkan perkongsian lamanya dengan penyedia katering utama Brahim’s Food Services (BFS) yang berpangkalan di Kuala Lumpur, dan sedang beralih ke perkhidmatan katering baharu di laluan domestik dan antarabangsa terpilih dalam rangkaian Malaysia Airlines.

Bagi memastikan tiada sebarang gangguan minimum membabitkan keselesaan pelanggan, MAB akan menawarkan pilihan F&B alternatif sambil meneroka secara aktif penyedia perkhidmatan baharu yang selaras dengan komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk menyampaikan pengalaman premium.

Dalam tempoh peralihan, penumpang masih akan diberikan makanan atau minuman dalam penerbangan mereka, maklum MAB seperti dilapor Harian Metro.

Namun, penumpang yang terjejas oleh perubahan dalam tawaran makanan termasuk laluan domestik dan antarabangsa terpilih yang dikendalikan oleh Malaysia Airlines, akan menerima tawaran makanan yang disemak semula dan makanan prapembungkusan bergantung kepada kelas perjalanan dan tempoh penerbangan.

Makanan yang dibungkus pula akan ditawarkan untuk laluan yang lebih pendek bergantung pada kelas perjalanan dan tempoh penerbangan, manakala makanan yang disemak semula akan ditawarkan untuk penerbangan yang lebih lama.

Justeru, MAB menggesa penumpang yang terjejas untuk mengemas kini butiran hubungan mereka melalui ‘Tempahan Saya’ di laman webnya bagi memastikan mereka menerima kemas kini tepat pada masanya melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Author

Pilihan Editor