HomeBeritaMasalah liputan komunikasi, MCMC keluar notis terhadap empat Telco

Masalah liputan komunikasi, MCMC keluar notis terhadap empat Telco

MELAKA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan notis terhadap empat penyedia perkhidmatan komunikasi kerana gagal mematuhi standard mandatori kualiti perkhidmatan ditetapkan.

Unit Komunikasi Korporat MCMC dalam kenyataan memaklumkan notis dikeluarkan di bawah subseksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) kepada keempat-empat penyedia perkhidmatan itu bagi meminta mereka memberikan penjelasan lanjut serta mendapatkan pelan penyelesaian interim dan jangka panjang untuk menangani masalah liputan komunikasi.

Tindakan itu diambil susulan aduan penduduk Taman Ambassador Village, Durian Tunggal mengenai masalah liputan komunikasi di situ.

“MCMC menyantuni pengadu pada 1 September lepas dan menjalankan aktiviti pengauditan perkhidmatan komunikasi talian mudah alih di lokasi aduan.

“Hasil pengauditan yang dijalankan mendapati, beberapa syarikat penyedia perkhidmatan iaitu Celcom, Maxis, YTL dan Telekom Malaysia (TM) tidak mematuhi standard mandatori kualiti perkhidmatan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, MCMC turut berkongsi rancangan yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan komunikasi di kawasan berkenaan.

“Buat masa ini, rangkaian gentian optik di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sedang dilaksanakan di lokasi aduan dan projek berkenaan dijangka siap menjelang akhir 2023 yang bakal memanfaatkan 250 penduduk.

“MCMC akan terus memantau dan memastikan liputan komunikasi di lokasi tersebut dalam keadaan yang optimum demi keselesaan penduduk,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor