HomeBeritaMayat lelaki disyaki warga asing terdampar di tepi pantai

Mayat lelaki disyaki warga asing terdampar di tepi pantai

SABAK BERNAM: Mayat lelaki tanpa identiti ditemui terdampar di Pantai Siput Bumi Hijau, Sungai Air Tawar, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, mayat disyaki warga asing itu ditemui orang awam sebelum menghubungi pihak polis kira-kira jam 10.45 pagi.

“Hasil temu bual ringkas dengan saksi dan ibunya mengatakan semasa sedang berjalan kaki mencari kepah di kawasan tersebut terhidu bau busuk.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar menemui satu badan manusia berada di atas pasir pantai dalam keadaan terbaring dan dihurung lalat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agus Salim berkata, siasatan awal tidak dijumpai sebarang senjata atau objek mencurigakan di lokasi kejadian, manakala pemeriksaan ke atas badan si mati mendapati tiada kesan kecederaan dan luka pada fizikal.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat,” katanya. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor