TUMPAT: Pertandingan akhir dikir barat sempena Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) 2023 di Pantai Geting malam tadi menyaksikan situasi tegang antara wakil pasukan dan pasukan juri.
Kejadian kira-kira jam 11.30 malam berlaku sebaik pemenang diumumkan sebelum wakil satu daripada empat pasukan yang bertanding menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan.
Pasukan berkenaan mendakwa berlaku ketidakadilan serta campur tangan pihak luar.
Situasi tegang pada awalnya hanya membabitkan pertikaian dan perbalahan sebelum menjadi semakin panas apabila meja juri diterbalikkan.
Bagaimanapun tindakan pantas jawatankuasa keselamatan apabila berjaya meleraikan pergaduhan yang mungkin boleh tercetus pada bila-bila masa.
Wakil pasukan yang terbabit dibawa ke suatu ruang untuk ditenangkan sebelum satu pertemuan diadakan bersama penganjur serta pihak yang berkaitan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah ketika dihubungi berkata, tiada laporan polis dibuat berhubung insiden itu.
“Kekecohan tercetus daripada salah faham sahaja dan ia diselesaikan dengan baik antara pihak yang berkaitan,” katanya.
Pertandingan akhir dikir barat itu adalah antara acara kemuncak FKRK 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 September hingga semalam.