HomeBeritaMOT perkenal koc khas MRT buat wanita di laluan Kajang

MOT perkenal koc khas MRT buat wanita di laluan Kajang

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil maklum mengenai isu kebimbangan penumpang wanita yang berisiko untuk berdepan gangguan seksual setiap kali berada dalam koc sesak di dalam Transit Aliran Massa (MRT).

Susulan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memperkenalkan koc khas MRT untuk wanita, dengan permulaan membabitkan laluan Kajang pada bulan depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu juga mengambil kira kadar aduan diterima Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkaitan gangguan seksual dalam MRT yang semakin meningkat.

“Koc ini (khas untuk wanita) adalah yang pertama membabitkan pengangkutan awam dalam bandar dan untuk percubaan, kita akan mulakan pertengahan bulan ini.

“Kami faham perasaan pengguna wanita… walaupun tiada desakan daripada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita akan sediakan koc wanita Laluan MRT Kajang sebagai percubaan dan diikuti laluan lain selepas itu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dalam pada itu, Loke mengakui, isu gangguan seksual adalah masalah besar dalam sistem pengangkutan awam dan ia bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga di negara lain termasuk Jepun.

“Ini (pengenalan koc khas untuk wanita) dilakukan untuk keselamatan dan keselesaan pengguna wanita dan saya mengambil tanggungjawab ini, walaupun saya lelaki dan ramai lelaki yang marah serta persoalkan perkara ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor