HomeNiagaMOVE langkah strategik baharu AirAsia

MOVE langkah strategik baharu AirAsia

KUALA LUMPUR:  Cabang digital Capital A Bhd, AirAsia Digital Sdn Bhd telah menukar namanya kepada Move Digital Sdn Bhd (MOVE), sebagai langkah strategik untuk menekankan komitmennya terhadap perjalanan.

Penjenamaan semula itu merupakan fasa pertumbuhan melalui kedua-dua perniagaannya, AirAsia Superapp dan BigPay.

Dalam masa sama, aplikasi AirAsia Superapp juga akan menukar namanya kepada AirAsia MOVE pada Oktober depan.

Sementara itu, pengasas bersama AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A, Tony Fernandes akan menyandang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif MOVE.

Tony ketika membentangkan tentang aplikasi AirAsia MOVE pada Isnin.

Menerusi jawatan baharu itu, beliau akan memacu kerjasama rapat antara kedua-dua AirAsia MOVE dan BigPay untuk membuka potensi sebenar dan sinergi perniagaan digital itu.

“Nama MOVE menandakan kami lebih baik sebagai cabang digital Capital A dan mengulangi komitmen untuk menggerakkan orang, idea dan inovasi ke hadapan dalam ruang perjalanan.

“Bayangkan akses lancar kepada perkhidmatan perjalanan dan kewangan pada satu paltform, dengan ciri kewangan bersepadu seperti paparan baki, tambah nilai dan pembayaran daripada BigPay dan mengukuhkan lagi cadangan nilai pergerakan AirAsia sebagai aplikasi perjalanan pilihan.

“Peranan saya sebagai Pengerusi Eksekutif MOVE adalah untuk meningkatkan sinergi antara kedua-dua perniagaan. Dengan perubahan ini, pasaran boleh mengharapkan pengalaman pengguna selain lebih banyak penyepaduan ciri BigPay dalam AirAsia Move tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang MOVE di DadiCinema, di ibu negara pada Isnin.

Majlis sama turut mengumumkan Nadia Omer dilantik sebagai CEO AirAsia MOVE berkuatkuasa mulai 26 Oktober depan.

Nadia berperanan untuk memacu visi AirAsia sebagai platform perjalanan kos rendah dengan penukaran tinggi.

Selain itu, Nadia akan bekerjasama Zubin Rada Krishnan, CEO BigPay yang bakal menerajui perniagaan tersebut.

AirAsia MOVE, dahulunya dikenali sebagai AirAsia Superapp merupakan platform perjalanan sehenti yang menawarkan nilai dan kemudahan, menerusi pengalaman tempahan hujung ke hujung yang lancar dalam tempoh dua tahun lalu.

BigPay pula telah memantapkan perniagaan itu sebagai ‘fintech‘ inovatif pembekal yang membolehkan rakyat di Asia Tenggara meningkatkan kehidupan, melalui pengurusan kewangan lebih baik.

Kedua-dua perniagaan digital di bawah Capital A itu telah mencapai banyak kemajuan, dengan AirAsia Superapp sebelum ini mencapai rekod tertinggi pengguna aktif bulanan (MAU) sebanyak 15 juta pada akhir suku kedua.

Malah BigPay pula menyaksikan pengguna berkadnya berkembang sebanyak 16 peratus tahun ke tahun (YoY) bagi tempoh sama.

MOVE Digital Sdn Bhd  merupakan cabang digital Capital A Berhad dan merangkumi dua perniagaan transformatif iaitu AirAsia Move dan BigPay.

MOVE berdedikasi untuk merevolusikan sektor pelancongan dan perkhidmatan kewangan, dengan menawarkan penyelesaian inovatif dan mengutamakan pengguna pada nilai terbaik.

Author

Pilihan Editor