HomeBeritaPolitikMUDA tak cukup kuat terajui kuasa ketiga - Penganalisis

MUDA tak cukup kuat terajui kuasa ketiga – Penganalisis

CYBERJAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) belum cukup kuat dan tidak boleh berdikari sendiri untuk menjadi kuasa ketiga (third force) dalam Parlimen.

Penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar menganggap parti itu seolah-olah menempah maut sekiranya bertanding semula pada pilihan raya akan datang.

Ini susulan kekalahan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.

“Kalau MUDA bertanding, semua calon yang dikemukakan akan kehilangan deposit.

“Mahu atau tidak, MUDA perlu pilih sama ada menyertai gabungan Pakatan Harapan- Barisan Nasional (PH-BN) atau Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Rusdi Omar

Ahad lalu, MUDA mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menyertai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan dibuat bersama pimpinan MUDA yang lain.

“Tindakan kerajaan menggugurkan 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) menyukarkan MUDA untuk terus kekal berada dalam kerajaan. Ini bukan kali pertama saya membuat keputusan berdasarkan prinsip,” katanya.

Wakil rakyat perlu bertindak matang

Syed Saddiq -Foto: FB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, keputusan MUDA untuk menarik sokongan ke atas Kerajaan Perpaduan merupakan hak parti tersebut sebagai wakil rakyat.

Namun, katanya, parti itu sepatutnya perlu bertindak matang kerana kemenangan MUDA pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah atas dasar kapasiti PH.

“MUDA sepatutnya bersama Kerajaan Perpaduan tetapi saya tidak dapat memastikan mengapa keputusan itu menyaksikan perkara berbeza. MUDA juga perlu hormati mandat rakyat kerana parti itu sebelum ini bersama PH.

“Jika disebabkan keputusan membebaskan Ahmad Zahid, MUDA sepatutnya menghormati Perlembagaan dan tidak boleh mengikut ‘kepala sendiri’. Namun, boleh jadi juga MUDA dipengaruhi pihak-pihak lain.

“Saya tak tolak kemungkinan pendekatan dibuat MUDA tak boleh tahan lama kerana tak menggambarkan mandat rakyat. Parti itu juga kena faham sistem pemisahan kuasa antara eksekutif kehakiman dan tak boleh buat keputusan sendiri untuk mengintrepretasi pihak mahkamah, selain perlu mendapatkan maklumat lanjut sebelum mengeluarkan kenyataan,” ujarnya.

Ketika ditanya sama keputusan menarik sokongan ke atas kerajaan disebabkan MUDA dinafikan penyertaan dalam PH, Mohd Rusdi tidak mengiyakan atau menafikan perkara tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri perlu mengambil maklum mengenai perkara tersebut dan tidak boleh menafikan kehadiran parti berkenaan.

“Beliau (Syed Saddiq) tidak diendahkan. Kepimpinan Kerajaan Perpaduan kena ‘aware’. Kita tak boleh salahkan Syed Saddiq dan Kerajaan Perpaduan, namun sebagai wakil rakyat dan ahli politik kena matang dalam bertindak,” katanya.

Author

Pilihan Editor