HomeBeritaMuhyiddin minta tangguh keterangan kes 'fatwa' pada Selasa

Muhyiddin minta tangguh keterangan kes ‘fatwa’ pada Selasa

KUALA LUMPUR: Rakaman keterangan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sepatutnya berlangsung pada Isnin, telah ditangguhkan pada Selasa depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perkara itu seperti dipinta Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tersebut.

“Beliau terpaksa menguruskan beberapa perkara mendesak, jadi dia minta penangguhan tersebut,” katanya seperti dilapor The Star.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Bukit Aman akan merekodkan kenyataan Muhyiddin pada Isnin bagi melengkapkan siasatan mengenai ceramah bekas Perdana Menteri itu baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Unit Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah pun menghubungi Muhyiddin.

Setakat ini, dua laporan polis telah dibuat berhubung isu itu.

Terdahulu, tular satu video dalam media sosial menunjukkan Muhyiddin dikatakan mengeluarkan ‘fatwa’ haram mengundi calon PH, Suhaizan Kayat.

Muhyiddin didakwa berkata sedemikian ketika berucap dalam kempen ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai di Nusa Bestari, Johor Bahru.

Muhyiddin berkata, ia sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai, berikutan kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

Author

Pilihan Editor