PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi akan merakam percakapan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan berbaur 3R (agama, bangsa dan raja) berkaitan orang Melayu akan hilang kuasa ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan diambil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman pada Khamis ini.
“Kita telah membuka kertas siasatan susulan satu laporan polis diterima pada 7 September lalu. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 3 September lalu, Muhyiddin didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam ceramah kempen DUN Simpang Jeram.
Antara kenyataannya, “Melayu pada hari ini tidak lagi menguasai kerajaan, maknanya orang Melayu sudah hilang kuasa, sedar ataupun tidak, betul ataupun tidak.”
Turut dimuat naik video ucapannya oleh Facebook Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Pusat yang mendapat 3,100 ‘likes’ serta 142,000 ‘views’. – Utusan