KOTA BHARU: Polis akan memanggil semua murid dari sebuah sekolah di Kuala Krai, Kelantan yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan kira-kira jam 12.10 tengah hari, 14 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Suzaimi Mohamad berkata, bapa mangsa membuat laporan pada 18 September kira-kira jam 10.55 pagi berkaitan kejadian itu.
Menurut beliau, kejadian yang tular di Facebook dan Twitter Sabtu lepas memaparkan seorang murid dibuli oleh dua murid lain.
“Video berdurasi 14 saat itu turut memaparkan dua murid lelaki membuli mangsa di belakang bangunan sekolah itu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ibu dakwa anak dibuli rakan sebaya di Kuala Krai sampai sembunyi duit dalam stoking nak beli makanan kat kantin
Lebih menyedihkan lagi, perkara tersebut diketahui oleh wanita tersebut selepas melihat video anaknya ditendang dan diejek beramai-ramai dalam satu video tular. pic.twitter.com/9DQ06Ffqyo
— Yon (@Amrlamnnn) September 18, 2023
Jelas beliau, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa berada di luar bilik darjah sebelum didatangi dua suspek berusia 11 tahun dan terus memukulnya.
Suzaimi memberitahu, hasil pemeriksaan pakar perubatan terhadap mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan dan kesan lebam pada badan.
“Kesemua murid terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai untuk diambil keterangan siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan akan dilakukan merangkumi semua aspek dan pihak sekolah juga sudah dimaklumkan serta tindakan telah diambil.
Selain itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan serta dibimbangi boleh mengganggu siasatan polis.