KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menerima £750,000 (RM4,093,500) menerusi akaun peribadi daripada Blackrock Commodities (Global) Limited, syarikat berkaitan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.
Kes pendakwaan menyatakan Blackrock ialah sebuah syarikat yang dikawal oleh Eric Tan Kim Loong yang juga sekutu rapat Jho Low.
Penganalisis Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Adam Ariff Mohd Roslan, 29, dalam keterangannya berkata, pada hari sama Blackrock menerima AS$1.89 juta daripada Affinity Equity, ia memindahkan £750,000 ke akaun Najib (berakhir-880, AmPrivate Banking – 1MY).
Saksi pendakwaan ke-47 itu yang merujuk kepada laporan jejak wang 1MDB dalam akaun Najib berkata, penyata dan rekod akaun bank beliau menunjukkan RM4,093,500 (£750,000) dikreditkan ke dalam akaun itu pada 23 Jun 2014.
Menurut saksi terbabit, sebelum jumlah wang ini diterima, baki terakhir dalam akaun bekas perdana menteri berjumlah RM100,000.
Saksi juga mengesahkan pelbagai dokumen yang melengkapkan pinjaman pertama yang dikeluarkan kepada 1MDB Energy Holdings Limited (1MEHL) berjumlah kira-kira AS$240 juta.
Ia membabitkan analisis terhadap jejak wang dalam dua akaun bank Najib bagi fasa keempat iaitu fasa ‘Options Buyback’ pada 23 Jun 2014, iaitu RM4.093 juta dikreditkan ke AmPrivate Banking – 1MY daripada akaun DBS Bank, Singapura atas nama Blackrock yang dikesan hasil pinjaman AS$250 juta daripada 1MEHL.
Adam Ariff memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – Berita Harian