HomeBeritaOps Khas Motosikal: Kadar pematuhan undang-undang jalan raya meningkat

Ops Khas Motosikal: Kadar pematuhan undang-undang jalan raya meningkat

MELAKA: Operasi Khas Motosikal 2023 digerakkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan impak positif biarpun baru 13 hari dilaksanakan di seluruh negara apabila berjaya meningkatkan kadar pematuhan undang-undang jalan, antara satu hingga empat peratus.

Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, bermula 1 September lalu hingga semalam, pihaknya sudah memeriksa 140,544 motosikal menggunakan pendekatan berkonsepkan pengauditan pematuhan.

“Hasil daripada dua minggu pengauditan yang dilakukan, kadar pematuhan didapati meningkat satu hingga empat peratus.

“Ini menunjukkan satu perkembangan positif yang mana pengguna motosikal khususnya mula mengikuti peraturan jalan raya apabila kadar ketidakpatuhan direkodkan hasil pemeriksaan dijalankan adalah 46 peratus berbanding sebelum ini hampir 50 peratus,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Malim, di sini, malam tadi.

Lokman berkata, bagi tempoh sama, pihaknya mengeluarkan 64,295 notis atas pelbagai kesalahan terhadap pengendali motosikal yang diperiksa.

“Daripada 64,295 notis, 24,459 membabitkan kes tiada perlindungan insurans, tiada atau tamat lesen memandu (19,928) manakala bakinya bagi pelbagai kesalahan termasuk tidak mematuhi lampu isyarat merah (4,061), ubah suai ekstrem (2,676) dan membonceng motosikal di bawah umur, dengan 259 kes.

“Selain itu, kita juga menyita 3,111 motosikal kerana diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya awam,” katanya.

Sementara itu, Lokman berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menangani penjualan alat ganti kenderaan khususnya bagi tujuan modifikasi motosikal yang menyalahi undang-undang.

Katanya, setiap kenderaan motor wajib melalui prosedur oleh Jawatankuasa Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) sebelum layak dipasarkan dan didaftarkan bagi kegunaan di atas jalan raya di negara ini.

“Penjualan alat ganti yang tidak disahkan oleh JPJ sebagaimana diluluskan dalam VTA itu adalah di bawah tanggungjawab PBT yang mana lesen-lesen premis mereka mestilah mengikuti peraturan.

“JPJ hanya berkuasa menegakkan undang-undang di atas jalan raya, sebab itu untuk langkah ke hadapan kita cadangkan untuk adakan operasi pemeriksaan dokumen dan alat ganti bersama PBT dan KPDN,” katanya. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor